Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon juga aktivis kemanusiaan, Wan Sharmila yang mesra disapa Lala, 45, mengakui dia kini dalam proses pembelajaran dalam mempersiapkan diri sebagai seorang mutawifah.
Pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Muhamed ini berkata, dia sudah memiliki sijil-sijil diperlukan selepas mengikuti kursus pengurusan haji dan umrah dua tahun lalu, namun baru sekarang mempunyai peluang.
"Takut juga sebenarnya nak jadi mutawifah. Tapi saya dah pergi belajar pengurusan haji dan umrah yang disertai dua tahun lalu untuk dapatkan sijil, kiranya yang ini kita anggap praktikal," katanya.
Menurut Wan Sharmila, walaupun dia mendapat tawaran menjadi mutawifah daripada pelbagai syarikat agensi pelancongan untuk membawa jemaah ke tanah suci, namun dia masih belum ada keberanian.
"Pada level sekarang untuk saya sebagai mutawifah pergi berseorangan bawa jemaah ke tanah suci, itu belum lagi. Buat masa ini, saya ikut mutawif dan berada di belakangnya untuk belajar.
"Jadi, saya masih dalam perjalanan membuat latihan praktikal untuk mempersiap diri sebagai mutawifah kira-kira setahun atau lebih sebab masih banyak yang saya perlu pelajari lagi," katanya.

Pelakon filem Bisikan Syaitan ini berkata, tugas sebagai mutawifah bukan sekadar membawa jemaah ke tanah suci, sebaliknya perlu tahu persoalan agama jika ditanya.
"Sebagai mutawifah, kita bukan sekadar bawa jemaah. Kalau bawa jemaah sahaja itu mungkin namanya group leader (ketua pasukan). Tapi yang ini mutawifah, saya kena menyantuni jemaah serta tahu juga hukum hakam, sirah Nabi dan merangkumi semua.
"Apapun, kiranya saya ini sekarang adalah intern (pelatih). Kita tengok dan kita belajar macam itu," katanya berasa sangat bersyukur mendapat rezeki baharu kurniaan Allah.
Sudah dua tahun tidak berlakon, Wan Sharmila memaklumkan bukan tiada tawaran yang datang tetapi kebanyakannya kurang sesuai dan membuat dia perlu melepaskan.
"Tetapi, cabang rezeki daripada Allah sangat banyak dan saya bersyukur kini diberi peluang untuk menjadi mutawifah. Walaupun cabarannya besar dan tidak mudah, namun saya kena mencuba.
"Kehidupan perlu diteruskan dan Allah sudah menarik saya hingga ke sini. Ini dunia baharu yang realiti dan membawa saya keluar daripada zon lakonan dengan aktiviti penggambaran seperti dulu-dulu.
"Sekarang pun, apabila saya keluar rumah untuk bekerja 'vibe' dah lain sebab saya yang kena ada di satu-satu tempat itu dulu dan menunggu yang lain datang. Saya tidak boleh lewat daripada mereka," katanya.
Terdahulu, Wan Sharmila memuatnaik hantaran video di Instagram (IG) memaparkan dia berada di lapangan terbang serta buat pertama kali perlu menguruskan jemaah umrah untuk ke Jeddah.
"Terima kasih Allah. Aku ikut aturan Mu. Sedikit cerita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) ke Jeddah.
"Doakan saya..ini bukan main-main. Mereka semua tetamu Allah yang dijemput dan saya ikhlas ingin menyantuni mereka.
"Selalu pergi jaga diri sendiri, tapi sekarang masanya untuk belajar erti sebenar menjadi diri. Terima kasih atas ruang dan peluang ini," tulisnya pada kapsyen.
Difahamkan, Wan Sharmila yang bersama agensi Hayya Travel Tours membawa seramai 30 jemaah umrah ketika ini akan berada di tanah suci selama 12 hari.
Sumber: Harian Metro
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|153 Views
No Comments yet
Be the first to comment.