Suami Heliza Helmi Mengaku Tidak Bersalah Atas Dua Pertuduhan, Mohon Ikat Jamin Bimbang Janggut Dicukur Di Penjara
- #hiburan
- #tempatan
- #berita
- #mahkamah
- #semasa
- #helizahelmi
- #mahadibadrulzaman
Suami kepada selebriti Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah.
Bagaimanapun Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan AUF MBZ Consortium PLT bukan seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan seorang orang berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti yang mana tertuduh sebagai wakil syarikat itu adalah disifatkan telah melakukan kesalahan tersebut.
Kesalahan itu didakwa di Subang Jaya masing-masing antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 serta 3 September 2021 dan 15 Februari 2024 yang didakwa mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) Akta yang sama.
Justeru hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini, media melaporkan syarikat milik Mahadi tidak mempunyai lesen atau berdaftar dengan SC untuk menjalankan sebarang aktiviti terkawal.
Sementara itu, peguam yang mewakili Mahadi memohon anak guamnya dibebaskan dengan jaminan kerana khuatir janggutnya akan dipotong dalam tahanan.
Peguam bela, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus dalam hujahan ketika memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan, memaklumkan, jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggut panjangnya berkemungkinan akan dipotong.
"Ini akan memberi kesan kepadanya," katanya.
Menurut Mohd Zamri, anak guamnya yang membantu pihak mengendalikan jemaah umrah, telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan bukan individu yang berisiko untuk melarikan diri.
Beliau berkata Mahadi turut menanggung ibunya yang menghidap kanser dan tahap kesihatannya tidak menentu, selain menanggung keluarga mentuanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin, memohon mahkamah menimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport diserah kepada mahkamah serta tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.
Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Mahadi dijamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan semua syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|120 Views
No Comments yet
Be the first to comment.