Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Selepas lima tahun berselisih faham, hubungan persahabatan antara pelawak Shuib dan Rahim akhirnya kembali pulih apabila mereka berdamai pada Khamis.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, kerinduan terhadap sahabat lamanya itu menjadi pendorong utama untuk kembali menghubungi Rahim selepas sekian lama hubungan mereka renggang.
"Rahim bukan sekadar rakan kerja, dia memang sahabat dan sudah macam abang saya sendiri.
"Sepanjang lima tahun ini hubungan kami tidak begitu baik. Terus terang saya cakap, memang saya rindu hendak jumpa dia, berbual dan bergurau semula," katanya kepada mStar.
Shuib berkata, banyak perkara yang dirinduinya mengenai Rahim termasuk hubungan akrab mereka di luar dunia kerja.
Katanya lagi, dia semakin yakin untuk menghubungi Rahim selepas mendapat galakan daripada rakan mereka, Mamat Sepah.
"Saya ada cakap dengan Mamat, Rahim balas mesej saya. Lepas itu saya tanya, kalau saya video call dia, kau rasa dia angkat tak?
"Mamat jawab, mestilah dia angkat," katanya.
Menurut Shuib, dia percaya segala yang berlaku merupakan aturan Allah yang membuka jalan untuk mereka kembali berbaik.
"Bila saya video call dia dan dia angkat, saya memang terharu sebab sudah lama kami tidak berbual," ujarnya.
Berkongsi lanjut mengenai panggilan video tersebut, Shuib berkata dia menghubungi Rahim ketika sahabatnya itu sedang bertugas di konti radio.
Disebabkan suasana ketika itu agak santai, Shuib berharap mereka dapat bertemu secara bersemuka dalam masa terdekat untuk berbual dengan lebih mendalam.
"Hujung minggu ini saya ada buat satu majlis. Insya-Allah kalau dia datang, mungkin waktu itu lebih sesuai untuk kami duduk berbual secara one-on-one," katanya.
Dalam pada itu, Shuib mengakui perselisihan yang berlaku sebelum ini berpunca daripada salah faham dan keputusan kurang matang daripada kedua-dua pihak.
"Sebenarnya apa yang berlaku antara kami lebih kepada salah faham sahaja, bukannya bergaduh teruk pun.
"Mungkin ketika itu kami membuat keputusan yang kurang matang dan masing-masing ada silap sendiri.
"Kadang-kadang masa itu sendiri jadi penawar. Bila sampai waktunya untuk sembuh, hubungan itu akan pulih semula," katanya.
Shuib turut menyifatkan hari perdamaian tersebut sebagai satu momen penuh rahmat kerana dapat kembali menjalin hubungan baik dengan sahabat lamanya itu.
"Hari ini saya rasa sangat bersyukur sebab dapat kembali seorang sahabat. Saya harap hubungan ini akan terus baik selepas ini, insya-Allah," ujarnya.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|23 Views
No Comments yet
Be the first to comment.