Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya yang juga ibu kepada dua orang anak perempuan memandang serius mengenai batas pergaulan anak-anaknya, terutama apabila mereka semakin meningkat usia.
Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, berkata sebagai ibu dia dan suaminya yang juga pengacara, Awal Ashaari bertanggungjawab memastikan anak-anak memahami perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sejak kecil.
"Bila anak perempuan semakin besar, sudah tentu ada batasan yang perlu dijaga. Sebagai ibu bapa kami melihat perkara ini dengan sangat serius.
"Bagi saya, soal batas pergaulan adalah perkara paling penting. Anak perlu tahu apa yang boleh dan tidak, termasuk soal sentuhan.
"Mereka perlu faham tentang menjaga batas sejak awal," katanya kepada mStar.

Scha berkata, pengalaman bergelar ibu membuatkan dia lebih peka dan berhati-hati walaupun adakalanya kerisauan tersebut dianggap berlebihan oleh orang sekeliling.
Tambahnya, batasan yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada proses membentuk sahsiah anak-anak memandangkan ibu bapa adalah individu paling dekat dalam kehidupan mereka.
"Sebagai ibu bapa, banyak perkara baharu yang saya dan Awal sendiri baru rasai. Ada kerisauan yang kadang-kadang orang lain anggap saya terlebih berfikir, tetapi bagi saya inilah naluri seorang ibu.
"Kalau kita ajar dari sekarang, insya-Allah mereka akan ada pegangan dan tidak terlalu bebas apabila membesar nanti," ujarnya.
Tambah Scha, pemantauan sejak awal amat penting kerana jika ibu bapa terlalu sambil lewa, anak-anak berisiko berdepan kejutan budaya.

Dalam pada itu, Scha dan Awal turut menetapkan peraturan khusus berkaitan penggunaan teknologi di rumah termasuk menghadkan akses kepada peranti dan media sosial.
"Telefon dan iPad hanya boleh digunakan pada hujung minggu. Lara hanya boleh pegang telefon atau iPad pada hari Sabtu dan Ahad.
"Dia tidak mempunyai akses kepada media sosial seperti Snapchat, Instagram atau Facebook. Aplikasi yang dibenarkan juga terhad dan sentiasa dipantau. Kalau saya rasa dia terlalu lama menghadap skrin, saya akan tutup akses tersebut untuk anak-anak saya.
"Teknologi memang sebahagian daripada dunia sekarang, tetapi yang paling penting adalah tahu dan jaga batas," katanya.
Untuk rekod, Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana, 12, dan Lyla Amina yang kini berusia lima tahun.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|152 Views
No Comments yet
Be the first to comment.