Pelakon Nas-T berhasrat untuk keluar daripada imej hero aksi apabila menyatakan kesediaan menerima watak romantik sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.
Menurut Nas-T atau Nas Muammar Zar Nasruddin, 42, sebagai pelakon dia mahu terus mengembangkan bakat dan tidak mahu terikat dengan satu genre sahaja.
“Sebagai pelakon, saya mahu jadi seorang pelakon yang versatil, jadi saya tidak menolak mana-mana rezeki. Kalau selepas ini dapat buat cerita romantik, saya terima sebab mahu cabar diri.
“Saya tidak mahu orang stereotaip cakap, 'dia ini boleh buat aksi sahaja. Muka tak sesuai buat cerita percintaan’. Saya mahu cuba dan lihat sejauh mana kemampuan serta lakonan saya,” katanya kepada mStar.
Katanya, persepsi penonton terhadap dirinya sentiasa berubah mengikut jenis karya yang dibintangi, sekali gus menjadi cabaran untuk membuktikan dia mampu mempelbagaikan karakter.
“Sebelum saya banyak buat naskhah aksi, stereotaip orang terhadap saya adalah sebagai pelakon jahat. Sejak kebelakangan ini pula, projek saya banyak filem aksi, jadi cabaran saya selepas ini adalah untuk pecahkan stereotaip itu pula.
“Bagi saya tidak kisah watak apa sekalipun, sama ada antagonis atau lain-lain, janji ada konsep perhubungan seperti mempunyai kekasih atau isteri. Dulu masa muda pun saya pernah sahaja buat drama konsep sedemikian,” ujarnya.
Nas-T bagaimanapun mengakui sudah agak lama tidak menerima tawaran membintangi naskhah romantik sejak aktif dalam dunia perfileman.
“Tawaran ke arah drama begitu belum ada lagi. Boleh dikatakan agak lama juga sejak saya buat kemunculan dalam filem. Saya rasa orang memang dah mula label saya sebagai pelakon filem.
“Tetapi kalau saya dapat projek lain yang bukan aksi dan rasa sesuai, kenapa tidak? Saya tidak mahu duduk dalam kepompong yang sama. Saya percaya kalau kita mahu dan berusaha, insya-Allah akan dapat,” katanya.
0 Comments
|184 Views
No Comments yet
Be the first to comment.