Copyright © 2025 The WayanG
. All rights reserved.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini meluluskan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah yang difailkan pengacara dan pelakon terkenal, Raja Azura terhadap bekas suami, Adzmin Osman.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim selepas berpuas hati dengan penjelasan serta keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung.
Peguam Syarie mewakili Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan, berkata permohonan itu membabitkan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 2010 berkaitan nafkah anak dan nafkah idah yang didakwa masih gagal dilaksanakan Adzmin selaku responden sehingga kini.
"Hari ini adalah tarikh keputusan bagi permohonan pemohon untuk memulakan pelaksanaan perintah mahkamah berkaitan nafkah anak dan nafkah idah.
"Alhamdulillah, keputusan yang diterima adalah positif apabila mahkamah meluluskan kebenaran kepada pemohon untuk memulakan tindakan pelaksanaan penghakiman, iaitu saman terhadap penghutang penghakiman bagi menuntut tunggakan nafkah daripada pihak responden," katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, hari ini.
Menurut Mohammad Amirul, kebenaran mahkamah itu perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil terhadap responden.
"Hakim juga berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan serta memberikan nasihat secara umum kepada semua pihak supaya perintah nafkah yang telah dikeluarkan mahkamah dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.
"Sekiranya perintah tersebut tidak dipatuhi, proses tuntutan akan menjadi lebih panjang dan menyukarkan semua pihak," katanya.
Mohammad Amirul berkata, sepanjang prosiding berlangsung, pemohon memberikan penjelasan dengan baik dan tenang terhadap soalan yang dikemukakan mahkamah.
"Hakim menyatakan kepuasan terhadap keterangan diberikan, termasuk penjelasan daripada pemohon sendiri serta usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kami," katanya.

Mengulas langkah seterusnya, Mohammad Amirul berkata, pihaknya akan memfailkan saman bagi memanggil responden hadir ke mahkamah untuk memberikan penjelasan berhubung kegagalan melaksanakan perintah nafkah serta menyatakan kemampuan pembayaran.
"Setakat ini, responden masih belum dapat dikesan, namun usaha akan diteruskan bagi menjejaki beliau dan memastikan saman tersebut dapat disampaikan," katanya sambil memaklumkan satu permohonan baharu akan dibuat bagi mendapatkan saman rasmi daripada mahkamah.
Ditanya mengenai kaedah pembayaran, Mohammad Amirul berkata terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan tertakluk kepada keputusan mahkamah dan kemampuan responden.
"Mengenai kaedah pembayaran, ia bergantung kepada pertimbangan dan keputusan mahkamah. Apa yang penting, responden perlu melaksanakan pembayaran nafkah mengikut kemampuan.
"Mahkamah juga bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan daripada kedua-dua pihak, asalkan perintah penghakiman itu dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku berkata, sebelum ini dia turut membuat permohonan melalui iklan bagi memanggil bekas suaminya hadir ke mahkamah, namun usaha itu tidak berhasil.
"Kami memohon melalui iklan supaya dia hadir ke mahkamah, tetapi mungkin dia tidak mahu berjumpa saya atau mungkin ada sebab lain yang saya sendiri tidak tahu.
"Apa yang diminta hanyalah kehadirannya untuk mengakui bahawa perintah nafkah itu tidak dilaksanakan, namun pada tarikh ditetapkan pun dia tidak hadir," katanya.
Susulan itu, Raja Azura berkata, satu lagi permohonan dibuat bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk melaksanakan penghakiman.
"Peguam saya memohon kebenaran daripada hakim supaya saya diberikan 'lesen' untuk membuat tuntutan ini. Alhamdulillah, walaupun banyak pertanyaan dikemukakan oleh Yang Arif, saya dapat menjawab dengan tenang dan bersyukur keputusan memihak kepada saya.
"Nafkah ini adalah satu kewajipan, bukan sekadar tuntutan undang-undang, malah perintah Allah SWT yang seharusnya dilaksanakan tanpa perlu menunggu tindakan mahkamah," katanya.
Pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya hasil perkahwinan dengan Adzmin, yang didakwa culas membayar nafkah mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.
Raja Azura dan Adzmin, anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada 2001 sebelum bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.
Sumber: BH Online
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|158 Views
No Comments yet
Be the first to comment.