Fazley Yaacob Dedah Sudah Luah Perasaan Pada Vida

Hubungan akrab antara penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob dengan usahawan Datuk Seri Vida semakin mencuri perhatian apabila kedua-duanya mula terbuka berkongsi mengenai perasaan masing-masing.

Fazley, 48, mendedahkan dia terlebih dahulu meluahkan rasa sayang kepada Vida pada satu hari yang disifatkannya cukup istimewa dalam kalendar Islam.

“Sebagai seorang lelaki, mestilah saya yang mula luahkan dulu. Masa pertama kali saya luahkan, ketika itu sangat Vida terkejut sehingga terdiam dan termenung lama.

“Hari yang saya luahkan itu merupakan hari yang sangat besar, bersejarah dalam kalendar Islam dan saya pilih pun bersebab.

“Saya datang kepada Vida dan hanya kami berdua di ruang tamu. Waktu itu sedang hujan dan hari yang terbaik sebelum saya luahkan niat serta hala tuju,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok.

Menurut Fazley, dia pada mulanya bimbang sekiranya perasaannya tidak diterima, namun lega apabila mendengar jawapan yang diberikan Vida.

“Saya risau juga dia tidak berminat tetapi jawapannya sangat hebat, biarlah saya simpan dalam hati.

“Keikhlasan dalam hubungan kami berdua yang membawa ke hari ini.

“Pada saya, kalau ada niat yang baik, kena lafazkan,” ujarnya.

Tambahnya, hasrat untuk mengenali Vida dengan lebih rapat sebenarnya sudah lama wujud, malah sebelum perkara itu menjadi gurauan anak usahawan berkenaan, Cik B.

“Cik B orang pertama yang gurau tentang perkara ini, memang saya segan.

“Tapi kalau Cik B tidak bergurau sekali pun, empat orang anak saya pernah bercakap tentang hal ini sebelum itu.

“Mereka beritahu sangat suka melihat sifat penyayang Vida dengan Cik B dan Kacak. Jadi, perjalanan keluarga saya dan Vida sama, kasih sayang adalah keutamaan,” katanya.

Mengulas gelaran "sayang" yang sering digunakan ketika memanggil Vida, Fazley berkata panggilan tersebut lahir secara spontan dan bukan sekadar untuk mencipta kandungan media sosial.

“Saya yang terlebih dahulu terpanggil Vida dengan gelaran sayang, mulanya memang tersasul.

“Panggilan sayang itu bukan konten tetapi datang dari hati.

“Saya tak boleh panggil Vida dengan nama lain, kejujuran sangat penting,” jelasnya.

Sementara itu, Vida atau Hasmiza Othman, 54, mengakui dia terkejut apabila menerima luahan perasaan daripada Fazley.

“Saya tak rasa itu konten pun tetapi terkejut kerana momen tersebut berlaku pada tarikh dan hari tersebut.

“Pada awalnya saya memang tak sangka dan tidak boleh terima tiga hingga empat hari, apa yang sedang berlaku?

“Saya bukan tak yakin ketika itu tetapi lebih kepada tergamam dan blur,” katanya.

Ditanya mengenai peribadi Fazley, Vida menyifatkan bekas juara MasterChef Selebriti Malaysia itu sebagai seorang lelaki yang budiman.

“Fazley 'overdose gentleman',” katanya ringkas.


Sumber: Kosmo! Online



0 Comments

|

80 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content