Farid Amirul Kini Memilih Watak, Muak Dengan Karakter Sama

Bukan mahu mendabik dada, pelakon, Farid Amirul Hisham Wu menegaskan dia kini memilih tawaran watak lakonan yang diberikan kepadanya.


Kata aktor yang terkenal menerusi watak Detektif Lim dalam drama Gerak Khas ini mengakui muak dengan watak sama yang sering ditawarkan kepadanya.


Kata Farid, seperti pelakon lain, dia juga berkeinginan mencabar kebolehan dengan membawa watak berbeza dengan yang pernah dibawakannya sebelum ini.


"Saya selalu ditawarkan watak sama. Kalau tidak lelaki berbangsa Cina, mungkin anggota polis, komunis, orang Jepun atau Korea. Berulang kali watak-watak itu sahajalah.


"Saya faham, mungkin keadaan itu kerana rupa paras saya. Tapi kalau kita perhatikan, sebenarnya ramai juga orang Melayu yang rupa parasnya seakan-akan orang Cina.


"Itu sebabnya saya memilih watak, kalau boleh saya perlu watak yang berlainan. Tidak asyik membawak karakter yang sama," katanya.


Dalam masa yang sama, Farid tidak menafikan kecenderungan pemilihan pelakon berdasarkan pengaruh media sosial menjadi cabaran untuk bertahan dalam bidang lakonan pada zaman sekarang.


"Zaman sudah berubah. Penerbit dan stesen televisyen cenderung memilih pelakon yang mempunyai pengikut media sosial yang ramai berbanding yang betul-betul berbakat.


"Itu mungkin satu cabaran buat pelakon lama seperti saya yang bukan semuanya aktif di media sosial dan memiliki pengikut yang ramai," jelasnya.


Disoal mengenai Skop Production, Farid menafikan yang dia bekerja secara tetap bersama syarikat produksi berkenaan.


Malah katanya dia bebas bekerja dengan semua syarikat produksi.


"Memang tidak dinafikan saya banyak terlibat dengan drama atau filem terbitan Skop Production. Namun itu tidak bermaksud saya 'ikat mati' bersama mereka.


"Saya juga bekerja dengan produksi lain. Sebelum ini pernah berlakon di bawah arahan Aziz M. Osman menerusi filem Leftenan Adnan dan Ghaz Abu Bakar untuk drama Hilang.


"Apa pun saya tidak menidakkan yang saya ini belajar banyak perkara tentang dunia lakonan dan pernah diberi kepercayaan menggalas tugas penolong pengarah di bawah Skop Production," ujarnya.


Menyedari hakikat yang dunia lakonan penuh ketidak tentuan, Farid enggan meletakkan kebergantungan kepada bidang tersebut.


Malah sejak lima tahun lalu, dia menggalas tugas hakiki selaku Pengurus Perhubungan Awam sebuah syarikat perniagaan karpet  demi memperoleh pendapatan tetap.


"Pendapatan dalam dunia lakonan ini tidaklah stabil. Sebab itu semasa berlakon drama Gerak Khas dahulu, saya bersungguh-sungguh menyimpan wang.


"Tidak lama selepas itu rakan industri, Dazrin Kamarudin menawarkan saya pekerjaan di syarikatnya sebagai pengurus perhubungan awam.


"Awal dulu memang mencabar, bayangkan dari dunia lakonan saya beralih kepada sektor jualan karpet. Tiga minggu pertama, saya pernah hampir berputus asa. 


"Namun saya cuba bertahan dan timbulkan minat dengan mendalami ilmu penghasilan karpet.  Alhamdulillah, sampai sekarang saya bertahan," ceritanya.


Sumber: Utusan



0 Comments

|

73 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content