"Artis sekarang hilang arah" - Hijjaz kongsi realiti industri nasyid

Kumpulan nasyid Hijjaz berpandangan perubahan landskap industri muzik menjadi antara faktor utama mengapa ramai kumpulan nasyid generasi baharu gagal bertahan lama dalam dunia hiburan.


Menurut anggota Hijjaz, Munif Ahmad, antara perbezaan paling ketara berbanding era kegemilangan nasyid dahulu ialah kebanyakan artis masa kini hanya tampil dengan lagu single tanpa menghasilkan album penuh yang mampu membina kelompok peminat setia.

"Bezanya, generasi kami dahulu menghasilkan album. Itulah perkara yang paling penting, bila ada album fizikal, peminat akan membeli, menyimpan dan menjadikannya sebagai koleksi.

"Disebabkan itu, peminat dahulu boleh dikategorikan sebagai peminat tegar. Berbeza dengan artis dan peminat sekarang, kebanyakan artis baharu tidak mempunyai album dan hanya melancarkan lagu single.

"Peminat mungkin meminati satu lagu minggu ini, kemudian tahun hadapan baharu ada lagu baharu, jadi agak sukar untuk membina kelompok peminat tegar," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Isman Isam berkata sistem tapisan ketat yang diamalkan syarikat rakaman pada suatu ketika dahulu turut memainkan peranan besar dalam melahirkan karya berkualiti dan mampu bertahan lama.

Menurutnya, setiap lagu perlu melalui penilaian Unit Artists and Repertoire (A&R) sebelum dimuatkan ke dalam album, sekali gus memastikan hanya karya terbaik dipasarkan.

"Di syarikat rakaman dahulu, mereka mempunyai Unit Artists and Repertoire (A&R) yang bertugas menilai kualiti lagu. Jika lagu itu dinilai tidak bersesuaian, ia akan ditolak serta-merta.

"Hanya lagu yang betul-betul berkualiti sahaja akan dimuatkan ke dalam album. Disebabkan kawalan kualiti itulah lagu-lagu dahulu mampu bertahan lama, berbeza dengan situasi sekarang," katanya.

Dalam masa sama, Isman turut menegur sikap segelintir artis baharu yang kurang memberi perhatian terhadap usaha promosi termasuk menjalin hubungan dengan media dan stesen penyiaran.

"Artis sekarang tidak melalui proses ini. Mereka tidak mengenali wartawan mahupun DJ, malah mahu ke stesen televisyen pun culas.

"Ia satu kerugian yang besar kerana promosi di televisyen dan radio adalah platform wajib untuk memperkenalkan profil diri dalam industri hiburan," ujarnya.

Seorang lagi anggota Hijjaz, Faizal Osman pula berpendapat kekurangan bimbingan daripada pihak pengurusan berpengalaman menyebabkan ramai artis baharu sukar mengembangkan kerjaya secara konsisten.

"Artis-artis baharu yang tidak mendapat bimbingan daripada unit A&R yang berpengalaman ini akan berdepan kesukaran untuk dikenali. Ini kerana proses itu sebenarnya panduan utama untuk menjadi artis yang sebenar," katanya.

Hijjaz yang dianggotai Munif, Isman, Faizal dan Ariffin Rahim bakal mengadakan Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Oktober depan.

Sumber: Harian Metro



0 Comments

|

95 Views

No Comments yet

Be the first to comment.

All Comments

Sort

  • Newest
  • Oldest
  • Most Liked

Please Login First!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

x

COMING SOON

Be the first to try it when it launches. Stay connected!

Loading ...

The WayanG

Preparing your cultural journey...

Please wait while we load all content