Pelakon, Aedy Ashraf berkongsi kisah hidupnya yang dilahirkan ketika bapanya sedang menjalani hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan berkaitan dadah dan senjata api.
Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, berkata ibunya membesarkan dia tanpa kehadiran figura seorang bapa.
"Sewaktu ibu melahirkan saya, sebagai keluarga sempurna mestilah bapa ada sekali bersama ibu di bilik bersalin. Tetapi hal itu tidak berlaku kepada saya.
"Ibu saya melahirkan saya ketika ayah tiada di situ. Ayah saya dipenjara selama enam tahun atas kesalahan dadah dan senjata api.
"Pertama kali saya lahir di dunia, buka mata sahaja bapa saya tiada. Saya membesar tanpa ayah sehingga usia tujuh tahun," katanya.
Perkara itu dikongsi menerusi sesi temu bual audio siar Kita-Kita Aje! bersama pengacara Datuk Aznil Nawawi yang dimuat naik di YouTube.
Dalam pada itu, Aedy mengakui pernah mempersoalkan tentang bapanya ketika kecil, namun pada usia tersebut dia sendiri tidak memahami makna sebenar seorang bapa.
"Saya ada tanya fasal ayah tetapi waktu usia tujuh tahun saya tidak tahu apa itu ayah. Saya tak tahu apa tanggungjawab seorang ayah sebab dia tidak pernah ada bersama kami.
"Dalam Threads saya ada mengatakan saya merupakan produk jenayah untuk orang miskin yang berkahwin. Bagi saya miskin harta boleh cari duit, tapi miskin emosi, kasih sayang dan tanggungjawab itu akan mendatangkan masalah," ujarnya.

Mengimbas pertemuan pertamanya dengan bapa kandung, Aedy menceritakan pengalaman yang sukar dilupakan apabila dia pernah dibawa keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu.
Kongsi Aedy, pengalaman dibawa ke kediaman bapanya itu memberi kesan mendalam, malah dia pernah melihat pistol dan dadah diletakkan di atas meja.
"Pertama kali jumpa ayah, sebenarnya dia 'culik' saya dari rumah. Waktu itu saya sedang tidur, saya sedar-sedar sudah berada di bahu ayah. Saya dibawa ke rumahnya, dia tinggal bersama kawan-kawan. Saya tak takut, cuma rasa tak selamat.
"Saya rasa seminggu juga saya tinggal dengan ayah. Dia pun manusia juga, saya rasa dia tak sanggup lihat saya berpisah dengan kakak lalu hantar semula pulang ke rumah," katanya.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Klepet ini memberitahu dia tidak banyak menghabiskan masa bersama ayahnya sehinggalah usia dewasa.
Dalam masa sama, Aedy turut berkongsi pengalaman melalui kehidupan sukar melihat ibunya, Liza yang juga merupakan seorang pelakon, membesarkan anak-anak sendirian.
"Kalau ikutkan, 10 hari sahaja saya hidup dengan ayah. Waktu usia 16 tahun apabila saya sudah sedia memaafkannya, saya balik ke Kelantan (kampung bapa) selama tiga hari. Sekarang ini dia (bapa) di Kelantan, masih sihat dan dah jadi orang masjid.
"Saya dibesarkan di kawasan perumahan 'dodgy flat'. Mungkin dodgy bagi saya tapi bukan orang lain. Waktu saya membesar, saya melihat sekeliling dengan kewujudan remaja hisap gam, merempit serta kes samun dan curi motor," kongsinya.
Sumber: mStar
Sort
Ad Slot Available
This Space is Reserved for Advertisements
0 Comments
|452 Views
No Comments yet
Be the first to comment.